Anwar puji Jemaah Menteri potong gaji untuk Tabung Covid-19


Ravin Palanisamy

Pejabat Perdana Menteri hari ini mengumumkan gaji Jemaah Menteri dipotong dua bulan untuk disalurkan ke Tabung Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2020.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim menyambut baik keputusan Putrajaya untuk memotong gaji menteri dan timbalan menteri selama dua bulan untuk disalurkan ke Tabung Covid-19.

“Hari ini kita dapat pengumuman dari Jabatan Perdana Menteri tentang keputusan untuk memotong gaji perdana menteri, menteri dan timbalan menteri selama dua bulan sebagai sumbangan mereka menangani masalah Covid-19.

“Saya sambut baik, dan ini membuktikan bahawa tuntutan rakyat dan peranan media sosial yang mendesak pimpinan memberikan contoh yang baik dan contoh kesediaan mengorbankan sedikit daripada pendapatan mereka itu berkesan,” kata Anwar menerusi video yang dimuat naik di Facebook hari ini.

Sejak dilancarkan pada 11 Mac lalu, Tabung Covid-19 setakat semalam mengumpulkan sumbangan sebanyak RM8,493,103.48 termasuk geran kerajaan.

Anwar juga berkata beliau telah mengarahkan ahli-ahli Parlimen PKR untuk memberikan sumbangan kepada hospital, pejabat polis dan mengenal pasti kawasan miskin di kawasan parlimen masing-masing. 

Beliau menambah, khidmat mereka akan tetap diteruskan walaupun elaun dan peruntukan untuk kawasan pembangkang dipotong. 

“Pemotongan dan juga peruntukan di kawasan pembangkang walaupun kita kesalkan, tetapi ia tidak harus menganggu urusan kerja kita memberi khidmat sebaiknya kepada rakyat.”

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menggesa kerajaan memastikan golongan pekerja tidak diberhentikan atau tidak dibayar gaji sepanjang semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Masih kita dengar di mana-mana kawasan pembuangan pekerja sewenang-wenangnya. 

“Saya tidak faham mengapa Kementerian Sumber Manusia dan kerajaan umumnya, tidak memberi penekanan bahawa tidak boleh buang pekerja dan dibatalkan gaji mereka di peringkat sekarang ini. Alasannya kerana keuntungan kecil.

“Ini masalah golongan korporat yang kaya, dengan pendapatan keuntungan dicatat bilion ringgit sebelum ini, kemudian kalau ada sedikit krisis ekonomi dan kerugian terus mereka menekan, yang di bawah diusir (dibuang) dulu,” kata Anwar.

“Saya ingin menggesa dan mendesak supaya kerajaan tegas dan tidak bertolak ansur dengan pengusiran pekerja, dan menyebabkan pengangguran lebih parah dalam keadaan sekarang.”

Selain itu, beliau berharap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan pakej rangsangan menyeluruh esok. – 26 Mac, 2020.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen