Dr Mahathir selesai menghadap Agong


Perdana menteri interim Dr Mahathir Mohamad kelihatan masuk ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pagi ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 27 Februari, 2020.

DR Mahathir Mohamad dilihat keluar dari Istana Negara selepas kira-kira sejam menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Perdana menteri interim keluar pada jam 12 tengah hari tadi turut melambai dan tersenyum kepada media yang menunggu.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat turut dipanggil menghadap pagi tadi.

Agenda pertemuan itu masih belum dipastikan, tetapi spekulasi mengatakan perdana menteri interim itu mempunyai jumlah sokongan mencukupi untuk dipersembahkan kepada Agong, bagi membolehkan beliau menjadi perdana menteri baharu.

Ahli Parlimen Langkawi berusia 94 tahun itu meletak jawatan perdana menteri pada Isnin, menyebabkan kelompongan kuasa di negara ini, dengan bekas sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH) kini menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk mengetuai kerajaan minoriti baharu.

Walaupun Umno dan PAS mengumumkan mereka memilih pilihan raya tergempar bagi mengatasi krisis politik ini, turut difahamkan bahawa ahli Parlimen secara individu daripada parti-parti ini mungkin menyokong Dr Mahathir untuk terus menjadi perdana menteri.

Pada masa ini, Dr Mahathir mendapat sokongan Bersatu, kumpulan Azmin Ali, GPS Sarawak dan Warisan dari Sabah.

Dalam perutusannya di televisyen semalam, Dr Mahathir meminta rakyat Malaysia memberinya peluang untuk membentuk satu pentadbiran negara yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

“Jika dibenarkan saya akan cuba adakan pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti. Hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan.

“Jika diizin inilah yang akan saya cuba,” katanya dalam perutusan khas itu yang disiarkan secara langsung di televisyen dan radio, petang semalam.

Beliau berkata orang politik dan parti politik terlalu utama politik sehingga lupa negara menghadapi masalah ekonomi dan kesihatan yang mengancam negara.

Dr Mahathir juga dijadualkan mengumumkan pakej kewangan negara untuk menangani kerugian akibat wabak Covid-19, hari ini. – 27 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen