Ambiga bidas gesaan Umno, PAS untuk adakan pilihan raya 


Aktivis peguam Ambiga Sreenevasan berkata PAS dan Umno tidak pernah mendahulukan rakyat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2020.

PAS dan Umno tidak pernah dahulukan rakyat, kata peguam Ambiga Sreenevasan berhubung gesaan parti pembangkang untuk pilihan raya diadakan.

“Umno dan PAS mahu parlimen dibubar? Perkara terakhir yang kita perlukan untuk bebankan ekonomi adalah dengan pilihan raya. Mereka tak pernah berubah. Mereka tak pernah dahulukan rakyat,” katanya menerusi Twitter. 

Bekas presiden Badan Peguam yang juga aktivis hak asasi manusia itu berkata demikian ketika mengulas mengenai sidang media Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa hari ini.

Annuar berkata ahli Parlimen kedua-dua parti itu memaklumkan Yang di-Pertuan Agong mereka mahu pilihan raya diadakan bagi menyelesaikan kemelut politik susulan kejatuhan Pakatan Harapan.

“Kami memohon agar Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan untuk membubarkan Parlimen sewaktu menghadap hari ini.

“Dalam situasi ini, mandat harus dikembalikan kepada rakyat dan kita mohon supaya parlimen dibubarkan dan biarlah rakyat tentukan,” katanya dalam sidang media bersama pemimpin tersebut,” kata Annuar.

Petang tadi, 90 daripada 222 ahli Parlimen hari ini ditemuduga oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Selebihnya akan menghadap baginda esok.

Baginda mahu menentukan pendirian setiap ahli Parlimen sebagai sebahagian daripada proses pembentukan kerajaan baharu.

Ahli Parlimen Kuala Krau Ismail Mohamed Said berkata ahli Parlimen yang dipanggil menghadap baginda petang tadi diminta memilih satu antara dua – menamakan seorang calon perdana menteri atau mahu Parlimen dibubarkan untuk memulangkan mandat kepada rakyat untuk menentukan sebuah kerajaan baru. – 25 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen