Saya kena sabar, kata Anwar


Chan Kok Leong

Pendirian kita jelas, tidak ada keraguan untuk memastikan Dr Mahathir dapat menjalankan tugas dengan tumpuan penuh, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 21 Februari, 2020.

ANWAR Ibrahim bersedia untuk bersabar dan menunggu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan berundur.

“Pendirian kita jelas. Tidak ada keraguan untuk memastikan Tun Mahathir selaku perdana menteri dapat menjalankan tugas dengan tumpuan yang penuh… itu kita tidak persoal.

“Saya sendiri cadang supaya Tun Mahathir diberikan ruang untuk mentadbir kemudian apabila dia tetapkan masa yang sesuai, barulah (peralihan kuasa berlaku).

“Jadi sementara itu, saya kena sabar,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan malam tadi.

Presiden PKR itu menjawab soalan wartawan yang bertanyakan perasaannya dengan keputusan Majlis Presiden dalam isu peralihan kuasa.

Pada sidang media itu juga, Dr Mahathir memberitahu yang majlis menyerahkan kepadanya untuk membuat keputusan tentang tempoh masa beliau terus menjadi perdana menteri.

Katanya, walaupun majlis bersetuju yang beliau akan berundur selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik pada November depan, tiada tempoh masa ditetapkan.

“Tiada masa ditetapkan, tiada tarikh, tiada apa-apa… hanya (ditetapkan) selepas Apec.

“Terpulang kepada saya, sama ada saya hendak lepas (jawatan perdana menteri) atau tak lepas. Itulah kepercayaan yang diberikan oleh parti kepada saya. Alhamdulillah,” katanya,

Sebelum mesyuarat, wujud spekulasi hangat bilakah Dr Mahathir akan meletak jawatan atau sama ada Majlis Presiden akan mencapai kata sepakat mengenai isu itu.

Penyokong Anwar sebelum ini mahukan peralihan kuasa berlaku pada Mei, menjelang ulang tahun kedua PH mengalahkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Tetapi, Dr Mahathir bertegas sejak November lalu yang beliau hanya akan meletak jawatan selepas Apec yang dijadualkan berlangsung pada November depan. – 21 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen