Hutan Kuala Langat sudah hilang sifat hutan simpan, jelas MB Selangor


Diyana Ibrahim

KERAJAAN Selangor mahu memansuhkan status hutan simpan kekal di Hutan Simpan (Utara) Kuala Langat kerana ia tidak lagi menepati ciri-ciri sebuah kawasan hutan simpan kekal, kata Menteri Besar Amiruddin Shari.

Katanya, 40% daripada kawasan tanah yang terlibat dalam pemansuhan status itu adalah hutan rosot dan kerana itu kerajaan negeri berpendapat kawasan itu lebih baik dibangunkan.

“40 peratus kawasan ini sudah jadi hutan rosot dan hutan itu seringkali  terbakar, ada kerosakan yang tidak mempunyai elemen hutan simpan atau hutan dara. Ia merupakan kawasan hutan rosot, tidak ada pokok dan terganggu ekosistemnya.

“Jadi kita cuba untuk ubah kawasan itu sesuai dengan kawasan persekitaran di sini sebab di hadapannya akan ada pembangunan Selangor Business Capital oleh PKNS dan sebahagian tepi projek Gamuda Corp.

“Jadi proses pemansuhan adalah untuk elak kebakaran hutan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menunjukkan peta Hutan Simpan Kuala Langat Utara pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 20 Februari, 2020.

Awal bulan ini, Jabatan Perhutanan Selangor memaparkan notis cadangan di akhbar untuk mengeluarkan sebanyak 930 hektar dari kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Notis itu dikeluarkan selaras dengan Kaedah- Kaedah Penyiasatan Awam (Selangor) 2014, serta Enakmen  Akta Perhutanan  Negara  (Pemakaian ) 1985 yang mewajibkan notis awam sebelum pembatalan rizab hutan.

Notis itu juga menyebut tanah tersebut akan dibangunkan bagi projek pembangunan bercampur.

Notis itu mengundang pihak berkepentingan di daerah tersebut untuk menyuarakan bantahan, sekiranya ada, dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis iaitu pada 5 Februari lalu.

Tindakan kerajaan negeri itu dibantah oleh Orang Asli Suku Temuan Kuala Langat yang berkata kawasan hutan simpan tersebut merupakan satu-satunya hutan yang tinggal untuk mereka.

Amirudin turut menolak tuduhan aktivis alam sekitar yang mendakwa cadangan kerajaan negeri bertentangan dengan hasrat Selangor mahu menambah keluasan kawasan hutan simpan kekal sehingga mencecah 32% daripada keluasan negeri menjelang 2025.

Katanya, tuduhan itu terpesong dan berunsur politik, sementara mereka yang melemparkan tuduhan itu gagal memahami isu tersebut.

Tegasnya, Selangor komited dengan sasaran 32% yang ditetapkan, dan kerana itu status hutan simpan kekal yang dimansuhkan akan diganti dengan kawasan yang baharu di Hulu Selangor dan Sabak Bernam.

“Sebenarnya pihak kerajaan negeri rancang untuk mengganti kawasan hutan melebihi kawasan yang akan dimansuhkan.

“Dalam senarai kita ada menerima beberapa lokasi penggantian hutam simpan yang kita akan pilih nanti,” katanya.

Beliau menjelaskan hutan simpan kekal yang baharu akan mempunyai kawasan tambahan seluas 121 hektar.

“Kita ganti 2,700 ekar (1,092 hektar) dan ekosistem hampir sama dengan kawasan hutan paya gambut.

“Lokasi baru ini juga akan bercantum dengan Hutan Simpan Raja Muda Muda.

“Jadi bila dicantum kawasan Hutan Simpan Raja Muda Musa ini, Selangor akan mempunyai hutan paya gambut yang terbesar di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau juga menambah Selangor kini mempunyai 70 kawasan hutan simpan. – 20 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen