Pakatan bincang isu peralihan kuasa Jumaat depan, kata Anwar


Anwar Ibrahim cenderung agar Dr Mahathir Mohamad terus menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik. – Gambar Facebook, 13 Februari, 2020.

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) akan bermesyuarat Jumaat depan (21 Februari) untuk membincangkan isu peralihan kuasa, kata Anwar Ibrahim.

Menurut Presiden PKR itu, beliau berpegang teguh kepada perjanjian muafakat PH bahawa dirinya akan menjadi perdana menteri kelapan selepas Dr Mahathir Mohamad.

Anwar berkata pertemuan dengan Dr Mahathir diadakan di Putrajaya hari ini bagi membincangkan perkara tersebut.

“Saya bangkitkan isu tersebut kerana ada usaha daripada PAS, sekumpulan dari Umno dan sebilangan kecil dari Keadilan sendiri yang dipercayai berusaha mendapatkan tandatangan menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir sehingga akhir penggal.

“Perdana menteri tidak terlibat dalam usaha tersebut malah mengulangi kenyataan tegas bahawa beliau akan melepaskan jawatan seperti yang telah dijanjikan.

“Saya cenderung agar beliau terus menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec). Namun perkara ini akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas ahli Parlimen Port Dickson itu, beliau meyakinkan Dr Mahathir bahawa pimpinan PH akan tetap mempertahankan perjanjian Muafakat PH yang dimeterai pada 7 Januari 2018 walaupun ada usaha untuk menggagalkannya.

Walaupun tiada tarikh muktamad ditetapkan bagi peralihan kuasa daripada Dr Mahathir kepada Anwar, tetapi ia sering disebut-sebut akan berlaku dua tahun selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

Dr Mahathir sebelum ini berkata akan menyerah kuasa kepada Anwar selepas Apec pada November ini.

Ahad lalu PAS berkata parti itu akan mengemukakan usul percaya terhadap Dr Mahathir untuk menyokong beliau kekal sebagai perdana menteri sehingga habis penggal.

Awal minggu ini, timbul laporan ada usaha memujuk ahli Parlimen menandatangani akuan berkanun untuk menyokong perdana menteri.

Baru-baru ini pula Dr Mahathir berkata keputusan muktamad menentukan siapa perdana menteri terletak di Dewan Rakyat. – 13 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen