Virus belum kritikal untuk halang pelancong masuk, kata PM


Noel Achariam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2020 bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan KCCCI di Dewan Pertubuhan Hokkien Klang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 26 Januari, 2020.

WABAK koronavirus belum sampai ke peringkat kritikal untuk melarang pelancong masuk ke negara ini, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad

“Kita tidak boleh meramalkan pada masa ini (betapa serius tahapnya). Banyak negara juga menghadapi masalah yang sama.

“Tetapi pada masa ini, belum lagi kritikal sehingga kita menghentikan pelancongan,” katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2020 anjuran Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Klang (KCCCI) di Dewan Pertubuhan Hokkien Klang.

Koronavirus yang muncul dari Wuhan, China kini sudah membunuh 56 orang dan menyebabkan hampir 2,000 jatuh sakit.

Malaysia mengesahkan empat kes jangkitan, seperti Singapura.

Penularan ini masih berpusat di ibu kota wilayah Wuhan, Hubei yang menyaksikan tujuh kematian baru dan 46 kes yang disahkan baru, kata Suruhanjaya Kesihatan Hubei.

Wuhan dan puluhan bandar lain di wilayah itu ditutup dalam usaha kuarantin pihak berkuasa.

Virus yang sebelum ini tidak diketahui menyebabkan kebimbangan dunia kerana persamaannya dengan SARS, atau Sindrom Pernafasan Akut Teruk, patogen, yang membunuh ratusan orang di tanah besar China dan Hong Kong pada 2002 dan 2003.

Dr Mahathir berkata, kerajaan sudah mula mengambil tindakan.

“Ini isu yang serius kerana sebelum ini kita tidak kenal pasti virus ini. Kita juga masih tidak pasti dengan rawatannya.

“Buat masa ini hanya langkah pencegahan dan bukan rawatan yang diambil seperti memakai topeng muka dan mengelakkan daripada orang yang disyaki dijangkiti wabak berkenaan,” katanya.

Menurut beliau kerajaan kini hanya boleh memfokuskan kepada langkah pencegahan.

Dr Mahathir juga berkata pemeriksaan dijalankan terhadap mereka yang memasuki negara ini.

“Itu sebabnya kita boleh kesan mereka yang dijangkiti. Tetapi adakalanya sukar untuk kesan wabak di peringkat awal,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut mengulas mengenai langkah Filipina menghantar pulang rakyat China ke negara asal.

Menurut beliau, Putrajaya tidak boleh mengambil langkah berkenaan berikutan sukar untuk mengesan kesemua pelancong dari Wuhan di Malaysia.

“Mereka sentiasa bergerak, namun apa yang kerajaan China lakukan ialah mengasingkan penduduk Wuhan.

“Mereka dikuarantin. Langkah drastik ini menunjukkan kesungguhan mereka untuk mengawal wabak ini.” – 26 Januari, 2020.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen