Setiap pesakit sebar koronavirus kepada 2-3 individu, kata saintis


Menurut dua analisis saintifik koronavirus akan terus tersebar kecuali langkah kawalan berkesan segera dilaksanakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2020.

SETIAP pesakit dijangkiti koronavirus yang bermula dari Wuhan, China pada bulan lalu menyebarkannya kepada dua atau tiga individu secara purata, lapor Reuters.

Menurut dua analisis saintifik mengenai wabak ini, penyakit itu akan terus tersebar pada kadar ini kecuali langkah kawalan berkesan segera dilaksanakan.

Pasukan di belakang kajian ini berkata langkah sedemikian perlu dapat menghentikan jangkitan sekurang-kurangnya 60% kes inginkan trend itu diterbalikkan.

Virus berkenaan telah meragut 56 nyawa dan menyebabkan hampir 2,000 orang jatuh sakit di China.

Malaysia mengesahkan empat kes jangkitan, seperti Singapura.

“Tidak jelas pada masa sekarang sama ada wabak ini boleh dibendung di China,” kata Neil Ferguson, pakar penyakit berjangkit di Imperial College London yang bersama-sama mengetuai satu daripada kajian.

Pasukannya mencadangkan sehingga 4,000 orang di Wuhan dijangkiti pada 18 Januari, dan setiap kes terus menjangkiti dua atau tiga orang.

Sementara itu, kajian oleh Universiti Lancaster Britain, menganggarkan kadar penularan pada 2.5 orang.

“Sekiranya wabak itu berterusan di Wuhan, kami meramalkan (ia) akan lebih besar pada 4 Februari,” kata penyelidik.

Mereka berkata di Wuhan sahaja, dianggarkan mempunyai 190,000 jangkitan pada tarikh itu, sambil menambah ia akan akan menular di beberapa bandar lain di China dan ke negara luar secara lebih kerap.

Semalam, pakar Australia memberi amaran mengenai penyebaran virus di seluruh dunia.

“Semakin meluas jangkitan di bahagian lain di China, semakin besar risiko penyebaran global,” kata Raina MacIntyre, yang mengetuai program penyelidikan biokeselamatan di Kirby Institute di University of New South Wales.

Australia yang menjadi destinasi pelancongan popular di kalangan warga China, telah mengesahkan empat kes penyakit.

Kesemua pesakit berasal dari China, dan telah pergi ke Wuhan.

Negara lain yang melaporkan kes jangkitan termasuklah AS, Perancis, Thailand, Korea Selatan dan Nepal. – 26 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen